Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam menjenamakan semula peminjam wang berlesen berdaftar di bawah kementerian itu sebagai ‘Komuniti Kredit’.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, yang melancarkan nama dan logo baharu itu di sini berkata penjenamaan itu akan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sumber pembiayaan yang sah.
“KPKT prihatin dengan keperluan masyarakat dari segi mendapatkan pinjaman terutamanya perniagaan kecil dan penjenamaan semula ini akan membantu mereka memilih cara yang sah untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.
Zuraida berkata peminjam wang berlesen diberi masa tiga bulan untuk menggunakan nama dan logo baharu itu, lengkap dengan kod QR pada papan tanda mereka.
Terdapat 4,115 peminjam wang berlesen berdaftar dengan KPKT, dan masyarakat boleh mendapatkan pinjaman dalam apa jua jumlah, dengan kadar faedah 12% dengan cagaran, atau 18% tanpa cagaran, katanya.
Ditanya sama ada terdapat aduan diterima kementerian mengenai peminjam wang berlesen, Zuraida berkata KPKT menerima purata 500 aduan setahun, dan kebanyakannya adalah kerana kegagalan menghantar laporan atau penyata akaun.
Pada majlis itu, Zuraida turut melancarkan aplikasi mudah alih 'i-KrediKom' yang akan memudahkan orang ramai mencari kedai Kredit Komuniti berdekatan berlesen berdekatan di Semenanjung Malaysia, selain memberi laluan kepada pelanggan untuk menghantar atau menyemak status aduan mereka. .
i-KrediKom turut memberi penjelasan mengenai hak seseorang peminjam dan jenis kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.